Jom SaMA2 Kita MengiNgati ALLAH

Hidup Adalah Perjuangan Yang Tidak Pernah Henti...

Ukhwah Kerana Allah

Tuesday, December 6, 2011

Apa itu kaunseling?


1.0 Pendahuluan
Kaunseling bukanlah nasihat walaupun ianya banyak memberi nasihat.Kaunseling adalah suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi.Kaunseling juga adalah salah satu cabang daripada psikologi.Perkhidmatan kaunseling dijalankan oleh kaunselor  profesional bagi membantu  perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh. Pertemuan antara kaunselor dan klien adalah secara sukarela dan berterusan sepanjang hayat berlandaskan Etika Kaunseling. Malah kaunselor tidak akan memberi jawapan secara langsung kepada klien dan klien akan membuat keputusan yang terbaik dengan bantuan daripada kaunselor.


Oleh kerana kaunseling bukan nasihat, hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba memahami dengan mendengar dan memberi layanan serta interaksi yang baik, manakala klien memperihalkan masalah mereka dan cuba memahami dan mengambil tindakan menguruskan masalah tadi.

2.0 Definisi Kaunseling,Bimbingan dan Psikoterapi


2.1 Kaunseling

Kaunseling boleh didefinisikan sebagai satu interaksi yang berlaku antara dua orang individu yang dipanggil kaunselor dan klien, berlaku di dalam ‘setting’ profesional, dan dimula dan dikekalkan sebagai satu cara untuk menolong perubahan tingkah laku                                       ( Pepinsky,H.&Pepinsky,P.1953:3)
Good ( dalam Sipora Sipon dan Wan Anor Wan Sulaiman 2002 ) menyatakan kaunseling sebagai bantuan dalam menyelesaikan masalah perubahan individu yang dilakukan oleh pembantu yang benar-benar berpengetahuan dan berkebolehan sehinggalah seorang itu boleh membuat keputusannya dengan baik.

Untuk memahami dengan lebih jelas definisi kaunseling, dipetik definisi daripada dua tokoh iaitu Patterson (1995) dan Corey (1977).Patterson ,  mendefinisikan kaunseling sebagai satu proses interaktif melalui satu perhubungan yang unik antara kaunselor dan klien  yang mengarah kepada perubahan klien dalam aspek tingkah laku, kepercayaan dan kemahiran membuat keputusan. Corey pula menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan masalah pada dirinya.

Krumboltz ( George & Cristiani, 1990 ) pula mengertikan   kaunseling merangkumi aktiviti-aktiviti yang beretika yang dilakukan oleh kaunselor dalam usaha membantu klien melibatkan diri dengan jenis tingkah laku yang akan menghasilkan penyelesaian kepada masalah klien.

Ahli psikologi pula berpendapat kaunseling sebagai ‘...satu proses di mana kaunselor menolong kaunselee membuat interpretasi fakta berkaitan pemilihan, perancangan atau penyesuaian yang perlu dibuat’ ( Smith,G.E.,1955: 6)

Sebagai rumusan, kaunseling adalah proses pertolongan yang profesional yang bertujuan membantu individu memahami dirinya dan alam sekelilingnya.

2.2 Definisi Bimbingan

Perkataan bimbingan didefinisikan sebagai ‘proses membimbing seseorang individu. Menurut Shetzer & Stone (1971) : “ bimbingan sebagai proses menolong individu memahami dirinya dan alam sekelilingnya’ (Ed Neukrug,1999).

Othman Mohamed (2000), bimbingan merupakan sebahagian daripada proses menolong. Ia melibatkan usaha memberi arahan secara teratur serta mengandungi maklumat sesuai bagi menentukan agar sesuatu matlamat tercapai oleh orang yang menerimanya. Lazimnya bagi penentuan kebajikan dan perkembangan dirinya.


Bimbingan ialah proses membantu individu membuat keputusan yang penting dalam hidupnya yang akan mempengaruhi kehidupannya (Gladding,2000)


2.3 Psikoterapi

Psikoterapi berfokus kepada masalah yang lebih serius iaitu yang berhubung dengan intrapsychic, internal, isu-isu internal dan konflik.Psikoterapi adalah proses yang melibatkan psikoterapis atau terapis dan klien yang berfokus kepada pendidikan semula seseorang.Tujuan asas psikoterapi ialah membolehkan klien mendapat persepsi yang jelas, mencapai celik akal dalam kehidupan seharian dan menangani perasaan yang kuat yang berpunca daripada peristiwa lampau dalam hidup klien.

3.0 Perbezaan Kaunseling, Bimbingan , dan Psikoterapi

Bimbingan membantu individu membuat pilihan menurut nilai dirinya,manakala kaunseling membantu individu membuat perubahan.

Kaunseling berfokus untuk memupuk kemahiran daya tindak ( coping skills ) untuk memudahkan perkembangan dan mencegah masalah klien manakala psikoterapi bermatlamat untuk membantu klien menyelesaikan masalah yang muncul akibat anxiety dan depresi.

Masalah yang dihadapi klien dalam sesi kaunseling melibatkan masalah dalam perhubungan dan kerjaya namun, psikoterapi pula berkaitan bantuan terapi kepada klien yang mempunyai masalah yang lebih kompleks yang memerlukan prosedur diagnosis.

Matlamat dalam proses kaunseling lebih kepada jangka pendek yang dijalankan di sekolah, pusat agama, dan klinik kesihatan mental yang menggunakan pendekatan kaunseling.Psikoterapi pula bermatlamat jangka panjang yang dijalankan di Pusat Kesihatan Mental atau Hospital dan menggunakan pendekatan psikoteraputik iaitu melibatkan proses proses dan tidak sedar.

4.0 Bagaimana kaunseling bekerja?

4.1 Matlamat Kaunseling

Mengajar klien bertanggungjawan ke atas dirinya.Melalui proses kaunseling, klien diajar untuk bertanggungjawab ke atas dirinya.Jika masalah yang timbul, klien yang bertanggungjawab dan tidak akan menyalahkan sesiapa.

Membaiki imej diri yang negatif.Kaunselor akan membantu klien untuk membentuk imej yang positif.Imej yang negatif merupakan halangan dalam diri klien dan klien akan belajar memupuk ciri-ciri yang baik.

Membimbing klien mencari dan memupuk sumber dalaman.Kaunseling akan menyedarkan manusia bahawa setiap manusia mempunyai kelebihannya sendiri.

Selain itu, kaunseling membantu klien menjadi lebih proaktif.Kaunselor akan membimbing klien supaya menyedari bahawa hidup ini static.Apa yang penting klien perlu berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Menurut Carl Rogers, individu mempunyai harga diri dan penghormatan diri, cenderung ke arah kesempurnaan kendiri dan manusia itu baik serta boleh dipercayai.


5.0 Sejarah Perkembangan Kaunseling di Malaysia

Sejarah perkembangan kaunseling di Malaysia bermula pada tahun 1910 apabila Dr.W.F.Samuels,seorang pakar psikiatri, di bawah Kerajaan British yang memerintah Malaysia pada masa itu mendirikan sebuah hospital sakit jiwa di Tanjung Rambutan,Perak.Dahulu hospital ini dikenali sebagai Federal Lunatic Asylum, yang sekarang ini dikenali sebagai Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Pada tahun 1963,R.K. MacKenzie melatih guru panduan yang terdiri daripada 11 penolong pengelola sekolah dan menghasilkan risalah-risalah panduan.Beliau adalah perunding Rancangan Colombo yang ditempatkan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).Pada tahun 1968 buku panduan dalam bahasa English Guidance services in school diterbitkan.

Unit Panduan Pelajaran dan Kerjaya ditubuhkan di Educational Planning and Research Division, Kementerian Pendidikan pada tahun 1963.Unit ini kemudiannya dipindahkan ke bahagian sekolah-sekolah pada tahun 1973.Pada tahun 1964,Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat Pekeliling,KP 5209/33/(4) dengan perakuan : tiap-tiap sekolah rendah dan menengah melantik seorang Guru Bimbingan,Guru Bimbingan dikurangkan tugas pengajaran kepada 25 waktu mengajar seminggu dan  panduan tugas-tugas Guru Bimbingan diberikan.

Kemudiannya,perkhidmatan kaunseling disediakan di Institusi Pengajian Tinggi pada tahun 1969 di Institut Teknologi Mara (ITM) dan Universiti Malaysia.Universiti Kebangsaan Malaysia pula menawarkan perkhidmatan kaunseling di Unit Rundingcara pada tahun 1973 dan Jabatan Penjara Seremban memulakan perkhidmatan kaunseling pemulihan dadah pada tahun 1978.Bermula pada tahun 1980,Maktab Perguruan Ilmu Khas menawarkan kursus persijilan kaunseling secara sepenuh masa.

Pemantapan perkhidmatan kaunseling bermula pada tahun 1990 hingga 2000.Pada tahun 1992,Unit Kaunseling dan Psikologi di Jabatan Perkhidmatan Awam Kerajaan Malaysia ditubuhkan dan menawarkan perkhidmatan psikologi secara sukarela atau rujukan.Akta Kaunselor 580 pula telah  diluluskan oleh Parlimen Kerajaan Malaysia dan Lembaga Kaunselor diwujudkan di bawah naungan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada tahun 1998.Kaunselor yang berkelayakan di bawah Akta 580 dikehendaki berdaftar dengan Lembaga Kaunselor untuk tujuan pendaftaran dan perakuan amalan.

6.0Anggapan yang salah tentang kaunseling

Kaunseling bukanlah nasihat atau cadangan sebaliknya adalah proses pertolongan yang berasaskan prinsip psikologi.Kaunseling juga bukanlah pemberi maklumat walaupun pemberian maklumat mungkin ada dalam kaunseling

Kaunseling tidak mempengaruhi tingkah laku dengan memberi ungutan,paksaan atau amaran.Keadaan ini bertepatan dengan prinsip dalam kaunseling iaitu penerimaan tanpa syarat.


7.0 Rumusan

Kaunseling meliputi pelbagai pengkhususan, termasuk kaunseling sekolah atau kolej, keluarga, perkahwinan, kaunseling pemulihan akhlak, dan kaunseling kerjaya.Setiap pengkhususan ini memerlukan pendidik dan pengalaman khusus.Walaupun begitu,untuk menjadi pakar dalam bidang-bidang pengkhususan ini mereka perlu terlebih dahulu memenuhi keperluan asas sebagai pengamal umum sebagai kaunselor profesional.

Kesimpulannya , kaunseling adalah satu profesion yang memberi pertolongan kepada klien berasaskan kepada ilmu-ilmu psikologi.Kaunseling dijalankan oleh individu bersama dengan individu yang boleh berfungsi dengan baik.Kaunselor juga bekerja berdasarkan pendekatan teori kognitif, tingkah laku, dan emotif.Teori –teori ini diaplikasi dalam kaunseling individu,kaunseling kelompok atau keluarga.




                                  Membantu mereka yang bersedia untuk berubah

1 comment:

  1. terima kasih ilmu yang Qaseh titipkan...banyak manfaat dan tertanam di jiwa saya...InSya Allah moga Allah memberkati perjuangan Qaseh...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...