Hari-hari berlalu yang dilewati
seakan sudah bertahun lamanya , namun yang perlu diakui ialah ianya baru
beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa
minggu lalu. Berita itu aku
sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha
berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita
benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam
gaung. Maha suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan
tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang Insan. Tiada
kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol.
Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia
lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun
bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar
dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku
yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya
Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah
dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring
ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang
Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama.. Negeri
Barzakh, insyaAllah. Destinasi aku juga sama seperti kalian , Negeri
Abadi.Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa
tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku
sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari masinis.
Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan
membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum
mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang
sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari menikah nanti nak
pakai baju warna apa?"
Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ibu akan
usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah cukup
untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan"
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku menyelak
satu persatu .. helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku
sebagai hamba Allah. Malam pertama... sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang
bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah
Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia
tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, aku
semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku
nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan
tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam
tubuh. Mudah-mudahan aku tenang.. As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia
menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu
pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang
yang mendahului.
"Kak , siapa tunang akak
? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"
Aku tersenyum, mengulum sendiri
setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu.
Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya
itu antara aku dan keluarga.
"InsyaAllah, 'dia' tiada
rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga buat beberapa
orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu
diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa jemput ana
di hari menikahnya, jangan lupa !"
Aku tersenyum entah sekian
berapa kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum.
Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah.
Sahabiah juga merasa kehilanganku apabila setiap waktu terluang aku habiskan
masa dengan as-Syifa'ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap
dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku
menanti hari itu.
"Bila enti menikah
?"
Aku tiada jawapan khusus.
"InsyaAllah, tiba
waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi
memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.
"Kalau enti tak datang
pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan
pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus
berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"InsyaAllah, kalian PASTI
akan tahu bila sampai waktunya nanti.."
Rahsia ku adalah rahsia Allah,
kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma hanya termampu aku
menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa
menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan,
baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu..
"Usah berlebihan
ya..."
Ibu angguk perlahan dan terus
berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Enti, jom makan!"
Aku tersenyum lagi..
Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Tafaddal, ana
puasa."
Sahabiah juga semakin galak
mengusik.
"Wah enti diet ya.
Maklumlah hari bahagia dah dekat.. Tarikhnya tak tetap lagi ke ?"
"Bukan diet, mahu
mengosongkan perut. Maaf , tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga kini, aku tidak tahu
bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari
tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari
pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga
kelak. Doakan aku, itu sahaja.
***
"innalillahi waiina
ilaihi rojiun.."
"Tenangnya.. Subhanallah.
Allahuakbar"
"Ya Allah,
tenangnya..."
"Moga Allah
memberkatinya..."
Allah, itu suara
sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat dinkahkan
setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah
walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan
umum.
Akhirnya, mereka sama-sama
mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak sedar...
Hampir setiap malam sebelum
menjelang hari pernikahanku.. Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di
hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada
Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan
yang tahu.
"Ya Allah, telah Engkau
tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang
menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia
sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam
majlis yang Engkau redhai, aku hambaMu yang tak punya apa-apa selain Engkau
sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku
ketahui..."
Akhirnya, Khalilah bertanya
kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"Akak bertunang dengan siapa
, makcik?"
Ibu tenang menjawab .. " Dengan kematian wahai anakku. Kanser
tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada
tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, dia hanya unya beberapa minggu sahaja
sebelum kansernya membunuh"
"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu
ditahan.
"Buku yang sering
dibacanya itu, malam pertama.... "
Ibu angguk perlahan, tersenyum
lembut .. "Ini nak, bukunya." Senaskhah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah
Al-Qarni tertera tajuk 'Malam
Pertama di Alam Kubur'
"Ya Allah, patut la akak
selalu menangis.. Khalilah tak tahu makcik."
"Dan sejak dari hari
'khitbah' tersebut, selalu akak mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut,
mudah utnutk dimandikan.."
Khalilah masih kaku. Tiada
suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang
diberikan ibu.
"Satu cincin ini aku pakai
sebagai tanda aku dirisik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai
tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya
dengan mendekatkan diri ku pada Allah. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya,
kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari Allah yang
perlu dipulangkan apabila Allah meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari
namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah
hati seorang ibu."
*kisah kita semua
sumber : muka buku, IluvIslam
No comments:
Post a Comment