Tidak ada siapa yang mahu dicap sebagai anak derhaka, demikian juga yang terjadi kepada Alqamah. Sejak remajanya lagi Alqamah sentiasa memberi layanan yang baik kepada ibunya. Tidak pernah kasar kepada ibunya. Diceritakan, apabila tinggal berasingan dari ibunya, dia akan singgah menjenguk ibunya setiap hari ketika berulang-alik ke masjid.
Bagaimanapun, sikap Alqamah berubah apabila mendirikan rumah tangga. Kasih dan tumpuan sudah diberi kepada isteri tercinta, lalu sering terlupa pada ibu sendiri. Si ibu sudah jarang diziarahi hingga akhirnya si ibu memendam rasa terhadap si anak. Tidak ada siapa yang tahu hal ini, malah Alqamah sendiri pun tidak dapat mengesan gejolak hati ibunya. Hanya setelah Rasulullah SAW sendiri “menyoal siasat” si ibu kerana Alqamah tidak mampu mengucap syahadah dalam nazaknya, barulah perasaan yang terpendam itu diluahkan. Itu pun setelah Rasululah memerintahkan sahabat-sahabat menghimpun kayu api dan mengancam untuk membakar Alqamah. Akhirnya si ibu memaafkan anaknya itu, barulah Alqamah dapat mengucap syahadah dan menghembuskan nafas terakhir dalam redha ibunya.
Mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Alqamah, timbul persoalan kenapa boleh berlaku hal seumpama itu sedangkan hubungan menantu-mentua telah diatur dengan begitu cantik di dalam Islam. Islam menetapkan, apabila seorang lelaki berkahwin, bererti dia mengembangkan keturunan keluarganya. Isterinya adalah orang baru dalam keluarga itu yang harus diberi perlindungan, pembelaan dan diberi nafkah secukupnya oleh suaminya sebagai wakil keluarga.
Manakala keluarga sebelah isterinya walaupun ‘kehilangan’ seorang ahli tetapi dalam masa yang sama, mendapat jalinan hubungan dengan keluarga baru di mana kedua-dua keluarga wajib saling berhubungan (menjalin silaturrahim). Hubungan kedua-dua keluarga ini adalah dengan ketetapan bahawa anak perempuan tadi harus ‘tunduk’ di bawah wilayah tadbir keluarga suaminya dan akur dengan resam budaya keluarga itu selagi tidak melibatkan pelanggaran syariat.
1. Tidak Memuliakan Keluarga Suami
Di dalam kitab Muhimmah disebutkan bahawa antara sifat isteri yang solehah ialah dia memuliakan keluarga suaminya lebih daripada keluarganya sendiri. Apabila ia tidak memuliakan keluarga suami, bererti ia telah menderhakai suami. Namun dalam kes-kes seperti yang berlaku kepada Alqamah tadi, pihak suami tidaklah wajar dengan membiarkan dirinya renggang dengan keluarga sendiri, sebaliknya lebih rapat dengan keluarga isteri. Suami seolah-olah terpisah dari naungan keluarga sendiri, lalu lebih selesa berteduh di bawah naungan keluarga isteri.
Berlakunya hal seumpama ini didorong oleh kurangnya ilmu dan pimpinan baik di pihak suami atau isteri. Tanpa ilmu, tiadalah panduan bertindak dalam mengatur kehidupan. Tanpa pimpinan, hilanglah pedoman dan kekuatan mengatur langkah demi mencari keredhaan Allah. Ilmu penting untuk kejernihan akal, manakala pimpinan untuk menjernihkan jiwa.
2. Tidak sayang kepada keluarga suami
Isteri perlu memahami dengan jelas aspek-aspek tertentu dalam sistem kekeluargaan dalam Islam. Apa peranan dan kedudukannya dalam sebuah keluarga besar yang di situ ada ibu bapa, mentua, ipar dan saudara-mara lain. Bagaimana memberi prioriti (keutamaan) dalam hal-hal yang melibatkan hubungannya dengan suami dan hubungan dengan ibu bapa sendiri. Isteri perlu berfikir mana satu patut didahulukan antara taat kepada ibu bapa dengan memenuhi keperluan anak dan suami, antara tanggungjawab menggembirakan ibu bapa dengan tanggungjawab melayan anak dan suami dan lain-lain.
3. Kurang Memperhatikan Keluarga Suami
Isteri tidak istiqamah dalam menyuburkan sifat-sifat terpuji dan mengikis sifat-sifat keji yang dapat melahirkan akhlak mulia. Maka berlakulah kes-kes kurang memperhatikan ibu mentua atau mentua berkecil hati dan marah. Keadaan menjadi bertambah parah apabila isteri ego dan mengabaikan hak-hak mentuanya yang juga ibu kepada suaminya.
4. Tidak Ikhlas Kepada Keluarga Suami
Tanpa niat yang ikhlas, seorang isteri mudah alpa pada tanggungjawab terutama bila ditimpa dugaan. Bisikan syaitan dan bujukan nafsu tidak mampu ditepis. Tipu daya musuh batin yang begitu halus, tidak mampu lagi dikesan.
5. Melebihkan Keluarga Sendiri Daripada Keluarga Suami
Hal ini boleh berlaku apabila isteri tidak mengiktiraf kepimpinan suami dan kehadiran keluarga suami. Mungkin bagi sesetengah isteri, dia berasa kedudukan diri dan keluarganya lebih daripada kedudukan suami dan keluarga suami. Maka ketaatan pada suami adalah dengan ‘bersyarat’ iaitu suami memberi perhatian tidak berbelah bagi kepada dirinya dan keluarganya walaupun ini bermakna suami harus memutuskan hubungan atau renggang dengan keluarganya sendiri.
Kes ini biasa berlaku bila seorang lelaki berkahwin dengan wanita yang status sosial diri atau kerjaya lebih tinggi berbanding keluarga si lelaki. Bagaimanapun, ia berlaku juga dalam perkahwinan sekufu di segi status sosial tetapi mungkin berbeza di sudut lain seperti isteri lebih cantik atau pandai. Sebab itu hadis menyebutkan bahawa sesiapa yang mengahwini wanita semata-mata kedudukannya maka Allah tidak akan menambah kepadanya melainkan kehinaan. Dalam satu hadis lain disebutkan bahawa ciri isteri yang solehah itu ialah, “…jika disuruh nescaya ditaatinya dan apabila dipandang,menyukakan hati…”Antara cara menyukakan atau menggembirakan suami ialah memuliakan keluarga suaminya setiap masa, dalam keadaan apa sekalipun.
Namun ia satu perkara yang skar dilakukan jika ketaatan terhadap suami tidak benar-benar utuh. Kadang-kadang datang dugaan dalam bentuk mentua ditimpa sakit. Tidak ada di kalangan anak sendiri yang mampu atau sanggup menjaganya. Maka anak lelaki atas rasa tanggungjawabnya, mengambil peranan itu. Namun kerana dia sendiri sibuk dengan pekerjaan, tugas itu diamanahkan kepada isterinya. Maka waktu itu pengorbanan daripada seorang isteri sangat dituntut, atas dasar taat kepada suami dan berbakti kepada mentua. Tanpa ketaatan yang utuh, si isteri tidak akan sanggup bersusah-payah untuk menjaga mentua yang sakit dan berenggang dengan suami buat seketika.
Tanpa ketaatan yang sepenuhnya juga, isteri mungkin cuai pada tanggungjawabnya, yang mungkin kerana kongkongan ibu bapanya. Ini berlaku bilamana ibu tidak memberi kepercayaan penuh kepada anak untuk membina kehidupan sendiri dan duduk di bawah tadbir orang lain (suaminya). Isteri ini mungkin mempengaruhi suami dalam banyak hal, agar melebihkan keluarganya sendiri daripada keluarga suami.
6. Renggang Dengan Keluarga Suami
Memimpin dan mendidik isteri bukan sahaja untuk melahirkan isteri yang solehah tetapi juga ibu dan anak yang taat dan rela berbakti. Jika suami gagal mendidik isteri agar taat dan memuliakan mentua (ibu bapa suami), tentu isterinya tidak dapat diharapkan mendidik anak-anaknya agar hormat dan memuliakan datuk nenek mereka itu? Isteri tidak berasa dirinya sebahagian daripada keluarga suami, dan anak-anak tidak berasa diri mereka dekat dengan keluarga ayah sebagaimana dekatnya mereka dengan keluarga ibu. Bayangkan perasaan seorang mentua ketika itu. Menantu dan cucu-cucunya lebih mesra dengan keluarga besannya tetapi tidak dengan mereka.
No comments:
Post a Comment