Jom SaMA2 Kita MengiNgati ALLAH

Hidup Adalah Perjuangan Yang Tidak Pernah Henti...

Ukhwah Kerana Allah

Wednesday, March 20, 2013

Sejarah perjuangan Kekasih Allah


Selepas kedatangan Nabi Muhammad SAW dengan membawa risalah kebenaran kepada masyarakat arab, kehidupan mereka berubah sama sekali. Risalah Islam yang benar ini telah mengubah kehidupan yang penuh dengan kegelapan kepada kehidupan yang disinari dengan cahaya keimanan kepada Allah SWT. Proses dakwah baginda Rasulullah SAW di Makkah telah menekankan kepada aspek keimanan kepada Allah SWT sebagai teras dan tunjang pembinaan masyarakat Islam yang tulen dan kukuh.

Dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah seruan dan ajakan untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Rasulullah SAW membina ummah Islam bermula dengan diri baginda seorang diri secara terancang sehinggalah lahirnya satu kelompok muslim yang beriman kepada Allah SWT dengan seluruh jiwa dan raga mereka. Mereka inilah generasi awal yang menerima didikan Rasulullah SAW secara terus-menerus sehinggalah mereka digelar sebagai “ sebaik-baik generasi” di dalam sejarah peradaban manusia.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran : 110 yang bermaksud :
“ Kamu ( umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana (kamu) menyuruh berbuat yang maruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah SWT. Sekiranya ahli kitab yang beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.”

Di dalam usaha baginda mengajak kepada Islam, baginda telah melakukan proses pembinaan individu muslim secara terancang dan proses ini mengambil masa yang begitu lama. Proses pembentukan ini menekankan kepada proses penanaman aqidah dan keyakinan kepada Allah SWT secara mendalam. Proses pembinaan generasi unggul ini adalah berteraskan kepada proses pendidikan Islamiyah dan dakwah islamiyah secara tersusun dan terancang.

Rasulullah SAW telah menggunakan beberapa kaedah untuk melaksanakan usaha dakwah ini. Antara perkara yang utama yang dilakukan ialah dengan menghimpunkan hati-hati dan jiwa-jiwa yang bersih serta ikhlas untuk diproses dengan didikan keimanan kepada Allah SWT. Pemilihan individu ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi ia dilakukan secara sedar dan penuh keyakinan kepada Allah SWT.

Proses penanaman aqidah ini berterusan sehinggalah jumlah generasi awal di bawah didikan Rasulullah SAW mulai bertambah dari satu masa ke satu masa. Dakwah peringkat rahsia ini mempunyai penekanan yang memfokuskan kepada proses didikan hati dan pembinaan individu muslim secara kolektif. Pendidikan yang dijalankan oleh baginda Rasulullah SAW adalah proses yang mensasarkan kepada pendidikan hati. Pendidikan hati ini ditekankan dengan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, keikhlasan dan ihsan kepada Allah SWT sehinggalah melahirkan suatu keperibadian yang murni dan berakhlak mulia.

Proses pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW adalah tunjang kepada pendidikan yang mendidik jiwa dan hati untuk patuh dan mengesakan Allah SWT. Pada peringkat ini, sumber rujukan baginda hanyalah Al-Quran semata-mata. Ini bertujuan untuk memastikan para sahabat generasi awal mendapat satu kefahaman yang benar-benar bersih dan tulen berkaitan Islam. Penekanan kepada sumber rujukan yang satu ini boleh digambarkan melalui satu sirah Rasulullah SAW. Pernah satu ketika Saidina Umar Al-Khattab membawa satu kitab yang dikatakan sebagai kitab Taurat untuk dijadikan bahan didikan Islam. Pada ketika itu, merah muka baginda Rasulullah SAW, dan sambil berkata : “ Sekiranya, Nabi Musa ada pada ketika ini, nescaya beliau juga mengikut aku.”

Zaman Ketamadunan Islam

Zaman pemerintahan Islam sesudah wafatnya Rasulullah SAW diteruskan dengan gagasan pemerintan sistem Khalifah Islamiyah iaitu kepimpinan Khulafa’ Ar Rasyidin, Kerajaan Bani Umaiyah, Kerajaan Bani Abbasiyah dan Kerajaan Bani Uthmaniyah. Zaman ketamadunan ini melalui satu perjalanan pembinaan, perkembangan dan kejatuhan yang sangat panjang.  Sejarah telah menunjukan peradaban ketamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangannya sehingga seluruh dunia mengenali dan mengakui kehebatan Ketamaduanan Islam.

Pengasas kerajaan Bani Umaiyyah ialah Umaiyyah bin Abdul Syams,seorang pemimpin kaum Quraish yang kaya dan berpengaruh.Pada zaman ini, perkembangan penyebaran Ilmu berkembang pesat terutamanya pada Zaman Khalifah Umar Abdul Aziz.Penghasilan teknologi baru seperti Seni Ukir, sistem pengasing benda asing melalui aplikasi tarikan graviti dan juga kinci air.

Kemudian sistem pemerintan Islam diteruskan dengan pemerintahan kerajaan Abbasiyah pada 763 M.  Penubuhan Kota Baghdad  sebagai Pusat pemerintahan Khalifah Bani Abbasiyah telah menjadi dimensi perubahan kerajaan Islam ketika itu.Pada tahun 786 M merupakan zaman Keemasan Bani Abbasiyah ( Pemerintahan Khalifah Harun Ar Rasyid dan Anaknya Al-Makmum).

Ketika itu ilmu berkembang pesat dan masyarakat Islam sangat dihormati kerana kemajuan yang dikecapi oleh mereka. Pembinaan Baitul Hikmah telah merancakan lagi aktiviti penyebaran ilmu dalam peradaban tamadun Islam. Baitul Hikmah telah menjadi  pusat penyebaran dan pengumpulan Ilmu yang mengandungi setengah juta jilid buku dan 36 buah perpustakaan. Dengan jumlah buku yang banyak ini, pihak pengurusan baitul hikmah yang memerlukan 120-400 ekor unta untuk pindahkan kesemua buku-buku itu ke suatu tempat. Pada era ini, lahirlah tokoh-tokoh ilmuan  Islam yang terkenal seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusdh dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...