Perkataan ‘halal’ berasal daripada kata Arab yang bermaksud dibenarkan atau yang dibolehkan. Seksyen 3 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) 1975 menjelaskan “Halal”, “Ditanggung Halal”, “Makanan Islam” bererti semua makanan tidak mengandungi apa-apa bahagian atau sumber binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau tidak disembelih mengikut Hukum Syarak; atau tidak mengandungi sesuatu yang difikirkan sebagai najis mengikut Hukum Syarak; dan tidak diselia, diproses atau dikilang dengan menggunakan alat yang tidak bebas dari najis mengikut Hukum Syarak. Hal ini bermakna, makanan halal bukan sahaja daripada sumber yang sah. Konsep halal ini meluas yang meliputi, sumber yang sah, cara penyediaan mengikut hukum syarak, tempat pemprosesan yang bersih dan juga makanan serta peralatan yang digunakan.
Hukum syarak pula bermakna undang-undang Islam dalam mazhab Syafie atau undang-undang dalam mana suatu mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang sudah dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh raja bagi mana-mana negeri.Bagaimanapun, sebagai agama yang mementingkan kesempurnaan dan kesucian, Islam menggariskan syarat dan peraturan lebih terperinci dalam setiap perkara dasar yang ada dalam ajarannya.
Konsep halal menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencakupi konsep yang lebih luas iaitu bermula dari peringkat awal hinggalah ke peringkat akhir dan sehinggalah produk itu sedia untuk dimakan. Definisi makanan halal yang diwartakan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) iaitu makanan yang dibenarkan oleh hukum syarak dan menepati beberapa syarat tertentu. Antaranya, makanan itu tidak mengandungi mana-mana bahagian produk haiwan yang tidak halal dimakan.
Selain itu, ia juga tidak mengandungi ramuan daripada bahan najis dan selamat serta tidak memudaratkan dan ia mesti disediakan, diproses atau dikilang dengan menggunakan peralatan-peralatan yang tidak dicemari bahan najis.Sementara itu, produk akhir pula tidak boleh mengandungi bahagian anggota manusia atau hasil daripadanya. Terakhir sekali, semasa penyediaan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengangkutan, makanan tersebut mestilah diasingkan daripada makanan lain yang tidak halal, tidak bersih serta tidak menepati syarat.
Makanan haram pula dikatakan sebagai makanan yang boleh merosakkan akal fikiran dan membahayakan kesihatan fizikal dan mental manusia yang memakannya. Islam melarang umatnya mengambil makanan haram kerana makanan haram akan menjejaskan kesihatan. Hal ini bermakna produk haram ialah produk yang tidak diizinkan oleh syarak untuk digunakan atau dinikmati oleh manusia terutamanya orang Islam. Menurut riwayat Muslim, setiap yang memabukkan adalah (khamar) dan setiap yang memabukkan adalah haram. Penyataan ini menjelaskan bahawa setiap yang memabukkan iaitu memberi kesan kognitif negatif serta menyebabkan kegagalan peranan tubuh badan kepada pengamalnya adalah haram
.
Syubhah pula bererti keraguan status produk itu sama ada halal atau haram. Syubhah menghampiri kepada hukum haram. Jika terdapat setitik keraguan di dalam hati kita , maka ianya dianggap haram.
“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang dan jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang dan jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhah yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.” (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)
Secara ringkasnya, makanan yang halal itu perlu kita mencarinya kerana menjadi kewajiban setiap muslim. Produk halal harus kita sebarkan, produk haram perlu kita jauhkan sejauh-jauhnya dan produk syubhah perlu kita elakkan seboleh-bolehnya.
No comments:
Post a Comment