Allah s.w.t telah menentukan kepada kita hamba-Nya supaya makan makanan yang baik kerana terdapat pelbagi hikmah yang tersendiri. Mengambil makanan yang halal akan memberi kesan yang baik kepada pemakannya. Makanan merupakan ciri utama dalam pembentukan fizikal yang sihat bagi tubuh manusia. Sementara makanan yang haram pula akan memberi kesan bahaya kepada pengamalnya iaitu makanan itu akan mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga dia lebih gemar membuat maksiat dan kejahatan serta benci kepada perkara kebaikan. Selain itu, dengan mengamalkan pengambilan makanan haram akan menyebabkan doa tidak dimakbul oleh Allah s.w.t dan akan mendapat seksaan neraka Allah pada hari kiamat kelak. Nyatalah di sini, bahawa isu makanan halal dan haram ini bukanlah perkara yang remeh.
Sesungguhnya mencari makanan yang halal itu adalah fardhu bagi setiap mukmin. Sehubungan dengan itu, pemilihan makanan halal lagi baik perlu diambil berat oleh setiap umat Islam. Hal ini bertujuan, makanan itu tidak memudaratkan manusia itu sendiri. Makanan yang suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Pada masa yang sama juga kita perlu berusaha memastikan makanan tersebut terjamin bersih dan suci menurut hukum syarak. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 168 :
“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang dan nyata bagi kamu”.
Oleh yang demikian, marilah kita mengamalkan cara hidup yang sihat dan ceria dengan mengambil makanan halal serta ceriakan kehidupan kita tanpa makanan haram. Bukankah Islam itu sangat indah? Sebagai hamba Allah s.w.t, marilah bersama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa dengan mematuhi segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya.
p/s : mencari yg halal itu fardhu bagi setiap mu'min
No comments:
Post a Comment